together we learned.. |
Dengan Nama Allah Yang Maha Lembut..
Pujuk Safiyya kepada Izati, rakan sekelasnya..
"Waalaikumsalam. Wahai sahabatku Safiyya, mulai hari ini usah dikau mengajak aku untuk berada di dalam kealpaan. Aku tidak mahu bergurau senda lagi. Aku sudah insaf. Sesungguhnya biarlah jiwaku ini khusyuk setiap saat tanpa terhibur!" Ujar Izati dengan secara tiba-tiba berubah perwatakan menjadi alim.
"Aik..ni kenapa tetiba jadi 'skema' semacam je. Kalau nak insaf pun takkan sampai nak bergurau sikit pun tak boleh?" Safiyya merasa pelik.
"Aku tidak mahu sedetik pun hatiku ini menjadi gelap. Biarlah aku bersendirian seketika." Izati menjawab dengan penuh etika dan disiplin tatabahasa Melayu.
Dahsyat! Saya cuba meneliti dialog ini. Benarkah untuk menjadi baik, soleh dan insaf maka kita juga perlu menjadi sebegini rupa?
Tidak! Menjadi baik tidak semestinya perlu menjadi 'skema'. Tidak juga perlu menjadi lurus bendul. Adakah Nabi SAW dan para sahabat yang terbaik itu menjadi 'skema' sepanjang masa? Tidak, Nabi SAW adakalanya bergurau senda. Ada kisah di mana Nabi SAW bergurau senda dengan para sahabat.
Suatu hari ketika mana Nabi SAW bersama para sahabat berkunjung ke sebuah rumah. Nabi dan para sahabat mendapat undangan untuk menjamu selera di rumah tersebut. Tuan rumah mula menjamu hidangan beberapa biji kurma dengan diberikan alas atau pinggan masing-masing. Apabila mereka selesai memakan kurma tersebut, biji kurma akan diletakkan di dalam pinggan masing-masing.
Sayidina Ali RA seorang sahabat dan juga menantu turut ada bersama. Kemesraan mereka sememangnya sudah diketahui umum. Ali RA berniat untuk bergurau dengan Nabi SAW. Dengan sengaja dia meletakkan setiap biji kurma yang beliau makan ke dalam pinggan Nabi SAW sehingga penuh pinggan Nabi SAW.
Ketika sedang berbual mesra, Ali RA mula meninggikan suara dan bergurau. "Kalian semua, saksikan betapa Nabi SAW begitu kuat makan. Lihat sahaja ke dalam pinggan baginda. Betapa banyaknya biji kurma yang sudah dimakan oleh Nabi SAW!"
Semua sahabat tertawa kecil dengan gurauan Ali RA. Sedangkan mereka memang mengetahui, biji kurma yang memenuhi pinggan Nabi SAW adalah milik Ali RA sendiri. Dalam senda gurau para sahabat itu, Nabi pun menjawab kata-kata Ali RA tersebut. "Aku makan kurma sebanyak ini tidak mengapa lagi. Cuba tengok pinggan Ali RA, ia lagi dahsyat. Tiada satu pun biji kurma yang ditinggalkan. Ali RA makan kurma dengan biji-bijinya sekali!" Semua para sahabat ketawa dan terhibur dengan gurauan Nabi SAW. Ia telah menceriakan suasana majlis jamuan petang itu.
Cuba kita renungkan sejenak perjalanan hidup Nabi SAW. Baginda seorang yang banyak yang menitiskan air mata di hadapan Allah. Baginda juga seorang yang tegas dan berprinsip pada urusan agama. Baginda juga seorang yang mulia tutur lisannya. Namun begitu, Nabi SAW tidak pula membiarkan sepanjang hidupnya dalam kemurungan. Adakala baginda juga bergurau senda dengan sahabatnya.
Kesimpulannya, berubah menjadi baik bukanlah bermaksud berubah menjadi 'skema'..Terkadang ramai yang takut untuk berubah, kerana katanya ia terpaksa meninggalkan dunia' cool' dalam dirinya. Sedangkan menjadi baik itulah yang 'cool'. Bukan sebaliknya. Renungkanlah semula maksud baik dan soleh itu dengan menguatkan iltizam untuk mematuhi arahan RabbNya. Bukan dari 'cool' menjadi 'skema'. Ceriakan hidup anda. Kerana agama bukan sesuatu yang mengongkong kita.
"BERUSAHA UNTUK MENJADI LEBIH BAIK ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA TIDAK BERUSAHA LANGSUNG MENJADI LEBIH BAIK."
Wasalam,salam rindu buat kalian yang sudi meluangkan masa..
No comments:
Post a Comment