Saturday, November 24, 2012

Dialog di pusara ayahanda...


Bismillahirrohmanirrohim...
Al Fatihah buat mereka yang telah tiada..



Alhamdulillah, saya masih lagi diberi peluang untuk punya ayahanda yang tercinta setakat ini. Saya masih diberi peluang untuk bau haruman bonda saya juga pada hari ini. Tapi saya tidak pasti sampai bila saya akan diberi peluang dan nikmat yang satu ini. Rabb, Kau berilah kesihatan akal, fizikal dan rohani kepada mereka kerna saya sangat sayang akan mereka pasa saat dan detik ini. Tidak akan satu pun saya abaikan ia. Insya Allah. Let's we travel in this story..

                Seluruh kampung semacam tidak percaya. Tapi itulah hakikatnya. Pak Hamid, pulang dari sebuah negara sebagai seorang jurutera dan hafiz. Semalam dia mengimani solat Tarawih. Lunak dan lancar bacaanya. Mereka yang tidak kenal asal usul Ramli, kagum. Mereka yang mengenali lebih kagum. Saya antara generasi anak kampung yang masih mengingati Pak Hamid. Malam setelah pulang dari solat Tarawih, saya berbual-bual dengan anak saya.

" Ayah nak kamu contohi imam muda tadi. Sudahlah hafiz, jurutera pula."

" Hebat betul."

" Kalau kamu tahu sejarah hidup beliau, kamu akan lebih kagum."

" Ayah tahu?"

Saya mengangguk." Sudah tentu, ayah anak jati kampung ni."

Mata saya merenung ke luar tingkap. Pohon nyiur melambai-lambai dalam kegelapan malam yang disinari cahaya purnama. Dua hari lagi, Aidilfitri menjelang tiba. Sesekali pulang ke kampung terasa kedamaiannya. Nostalgia kisah Pak Hamid terbayang kembali di ruang mata.

" Ayah nak cerita ni sekadar mengambil iktibar. Bukan hendak memburuk-burukkan orang yang telah mati..."

Perlahan memulakan cerita.

" Kenapa Pak Hamid begitu sekali ayah?"

" Pak Hamid terkenal di kampung ni sebagai buruk perangainya. Solat tidak. Puasa tidak. Menjengah ke surau langsung tidak pernah. Berjudi, minum arak dah jadi kebiasaannya."

" Ramli tu terseksa sejak kecil lagi. Dibentak-bentak. Makan minum, pakaian dan sekolahnya tak terurus langsung."

" Tapi macam mana dia boleh mencapai kedudukan sepeti sekarang?"

" Itulah luar biasanya Ramli ni. Dalam serba kekurangan dan cabaran dia gigih. Rajin belajar. Berdikari mencari rezeki."

" Ibunya macam mana?"

" Ibunya dah lama meninggal dunia. Kata orang, itulah sebabnya Pak Hamid jadi begitu. Berubah sejak kematian isteri."

" Sedih juga..."

" Kalau orang lain dah lama putus asa. Tapi Ramli tidak. Keputusan cemerlang di sekolah rendah dia memasuki sekolah berasrama penuh. Dan entah macam mana kaedahnya dia mampu meneruskan pencapaian akademik dan hafaz Quran sekali gus. Hebat."

" Sekarang ni ayah dah ramai yang menempuh sistem itu. Ada caranya."

" Baguslah, jika berpeluang kamu ikuti jejaknya. Kembali kepada kisah Pak Hamid. Dia meninggal tak lama selepas Ramli masuk ke sekolah asrama penuh. Ayah masih ingat.." Saya sebak.

" Kenapa ayah?"

" Waktu Ramli pulang menjelang pengebumian jenazah ayahnya, dia menangis. Sebatang kara. Orang kampung kata macam-macam tentang arwah ayahnya. Berdosa besar. Jenazahnya berat, berat dosalah, macam-macam. Sedih ayah rasakan. Ramli yang masih muda tu terpaksa  menanggung kecaman pada hari dia kehilangan orang yang disayanginya. Mujurlah ada datuk kamu."

"Atuk pun ada peranan dalam kisah ni?" tanya anak saya.

" Ayah masih ingat datuk kamu panggil Ramli berjalan bersama di tanah perkuburan. Ayah ada sekali."

"Apa kata atuk?"

" Ramli, kalau benar kamu sayangkan ayah kamu, jadilah anak yang soleh. Doakan dia. Itu sahaja jalannya untuk menyelamatkan ayah kamu di alam barzakh."

Anak saya diam. Terkesima agaknya. Matanya mula redup.

" Datuk kamu menyambung lagi, untuk harumkan kembali nama ayah kamu di dunia, kamu belajar bersungguh-sungguh. Jadi orang yang berjaya dalam hidup. Insya Allah, kecemerlangan kamu akan menjulang kembali nama ayah kamu yang dikatakan orang pada hari ini."

" Macam mana reaksi Ramli waktu tu?"

"Dia hanya mengesat air mata dan mengangguk-angguk."

" Hebat betul, ayah. Sekarang semuanya semacam menjadi realiti."

" Memang hebat. Anak yang baik lahir daripada seorang ayah yang sedemikian. Kamu bagaimana?"

" Saya bertuah, saya ada ayah."

Saya diam. Terusik hati saya, adakah aku ayah yang baik?

" Kamu mesti terima kenyataan bahawa kita masih mampu menjadi anak yang soleh walaupun bapa kita bukan seorang yang soleh. Dan tidak semestinya bapa soleh maka anak secara automatik menjadi anak yang soleh."

" Kenapa ya?"

"Itulah bukti keadilan Allah. Dosa dan pahala tidak boleh diwariskan. Setelah akil baligh kita punya potensi sendiri nak menjadi baik atau sebaliknya."

" Jadi seorang ayah yang soleh tak boleh membentuk anak yang soleh?"

" Tidak begitu. Didikan ibu bapa sangat memainkan peranan. Anak yang dididik secara baik, berpotensi besar menjadi anak yang soleh bila dewasa. Tetapi mesti ada usaha yang dia sendiri perlu lakukan untuk meneruskan program menjadi insan soleh. Jika program itu dipatuhinya, alhamdulillah. Jika menyimpang dia terima akibatnya.

" Saya setuju. Ini bukti Tuhan itu adil. Jika tidak, setiap anak terpaksa menanggung akibat kesalahan ibu bapanya, tanpa berpeluang mengubah keadaan dirinya."

" Ya, itulah yang dibuat oleh Imam Ramli. Demi cinta kepada ayahnya, dibela maruah ayahnya di dunia dan akhirat. Tolong buat begitu jika ayah telah tiada..." Semacam wasiat pula kata-kata saya.

           Pada pagi raya, selepas solat Aidilfitri, kami sama-sama menziarahi pusara pinggiran kampung. Saya lihat Imam Ramli duduk di tepi pusara ibu dan ayahnya. Saya dan anak duduk di tepi pusara insan yang kami paling sayangi; ayah saya, datuk kepada anak-anak saya. Lelaki yang pernah menasihati Imam Ramli. Mudah-mudahan rohnya bersemadi di sisi orang soleh.

            Nasihatnya sangat memberi bekas. Saya yakin ayah ikhlas waktu itu. Dialog ayah dengan Imam Ramli  belasan tahun yang lalu ini masih segar di ingatan. Saya di sisi mereka. Saya melihat air mata ayah mengalir sewaktu meluahkan nasihatnya. Oh, mampukah saya seikhlas itu?

p/s: cerita ini saya petik dari sebuah buku Nota Hati seorang Lelaki,  Pahrol Mohd Juoi. Semoga kalian ambik pengajaran darinya. Bagi sesiapa yang belum membaca sila la dapatkan terutama pemuda harapan..

~Khaulah~~















No comments:

Post a Comment